Friday, December 12, 2008

KEMURUNGAN

Bagaimana menyedari episod kemurungan

Jika anda atau seseorang yang anda kenali mempunyai kemurungan unipolar/bipolar, anda perlu menyedari tanda-tandanya dan hubungi doktor jika ianya berterusan atau menjadi lebih serius.

1. Jika anda mula mengalami masalah tidur samada sukar tidur atau asyik mahu tidur – simpan rekod dan lihat tanda-tanda lain.

2. Berhati-hati dengan seseorang yang tidur berlebihan. Kemurungan yang serius boleh menyebabkan seseorang tidur hingga 20 jam sehari.

3. Beri perhatian jika seseorang mula membatalkan aktiviti-aktiviti social dan merenung jauh pada program TV yang kebiasaannya tidak ditontonnya.

4. Perhatikan jika surat-surat tidak dibuka dan bil-bil dibiarkan bertimbun-timbun. Tugas-tugas mudah seperti membasuh pakaian dan membuang sampah tidak dilakukan.

5. Kenalpasti perubahan selera makan; berkurang atau bertambah mahupun kehilangan atau pertambahan berat badan yang ketara.

6. Ikuti perkembangan tangisan-tangisan yang tidak dikawal dan tidak dapat dijelaskan.

7. Catitkan perasaan sedih, bersalah, tidak berharga atau putus asa yang berpanjangan (beberapa hari).

8. Berjaga-jaga jika anda atau orang yang disayangi menunjukkan tanda-tanda kerisauan dan keberangan yang luar biasa, bersikap negative, tidak berdaya atau putus asa.

9. Beri perhatian jika anda atau orang yang disayangi mula menunjukkan kesukaran untuk membuat keputusan walaupun ianya mudah. Contohnya tidak tahu nak makan apa, teragak-agak untuk membeli coklat yang mana satu. Ini merupakan tanda-tanda yang biasanya ada pada kemurungan.

10. Sentiasa peka dengan perubahan tingkah laku seperti ketidakaturan (disorganization), kesukaran untuk menumpukan perhatian atau perbezaan pada keperluan tugas-tugas harian.

11. Perhatikan jika pergerakan dan fikirannya semakin perlahan (kerencatan psikomotor) atau semakin pantas (rangsangan psikomotor).

12. Lihat tanda-tanda fizikal seperti postur yang membongkok, dahi berkerut, mengurangkan bertentangan mata, kerap mengeluh, tidak memberikan tumpuan pada pertuturan atau nafsu seksual yang berkurangan.

13. Hubungi doktor segera jika anda mengalami atau seseorang kerap menyatakan tentang mati atau bunuh diri.

14. Jika tanda-tanda kemurungan muncul selepas pertukaran ubat-ubatan, hubungi doctor berkenaan segera.

Tip:

1. Kemurungan boleh menyusur secara perlahan mahupun diwarisi dengan cepat. Jika perlahan-lahan ianya sukar untuk dikesan terutama pada diri sendiri. Jadikan tabiat memerhatikan diri sendiri jika anda mempunyai episode-episod kemurungan.

2. Bantulah kawan atau orang tersayang jika anda melihat tanda-tanda yang merbahaya. Ambil tindakan yang sewajarnya. Begitu juga jika ianya terjadi pada anda: Bantulah diri anda!

SELAMATKAN DIRI ANDA DAN YANG TERSAYANG

Diterjemah dari Your Guide to Bipolar Disorder oleh Kimberley Read & Marcia Purse.

Wednesday, December 3, 2008

Alternatif untuk Tekanan Darah Tinggi

Pemakanan lebih baik drpd ubat-ubatan utk Tekanan Darah Tinggi

“Penyelidikan saintifik menunjukkan perubahan diet blh menyingkirkan tekanan darah tinggi / hipertensi bg kebanyakan pesakit.”
(Dr Julian Whitaker, founder and director Whitaker Wellness Institute, California)

“Ubat-ubatan merawat tanda2 tekanan darah tinggi (tdt), tetapi utk menyembuhkannya memerlukan makanan tambahan serta perubahan diet dan cara hidup.”
(Dr Eric Braverman, director, Place for Achieving Total Health, New York City)

*anda didiagnos mempunyai tdt jika tekanan darah anda melebihi 140/90. Tdt blh menyebabkan masalah lain termasuk sakit jantung.

Remedi alternatif yg blh digunakan utk menurunkan tdt ke paras normal:

1. AIR : Dr Whitaker mencadangkan minum 15 gelas air sehari iaitu satu gelas setiap jam pada waktu jaga. (Bermula jam 6/7 pagi, berakhir jam 8/9 mlm).
Air merehatkan keseluruhan system tubuh termasuk arteri. Arteri yg ketat dan tersumbat adalah penyebab utama tdt.

2. MAKANAN KAYA DGN POTASSIUM : Menyingkirkan garam sodium dr badan.
Dr Whitaker menyatakan potassium dan sodium bekerja seperti gergaji dlm badan; pengambilan tinggi potassium merendahkan kadar sodium.

Cadangan: Makan sekurang2nya 2 biji pisang sehari (kaya dgn Potassium) dan sekurang2nya 5 hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran yg kaya dgn mineral ini. Buah-buahan dan sayur-sayuran mengandungi byk fiber yg merendahkan tekanan darah.

Buah-buahan lain: apricot, cantaloupe, kurma, honeydew, kiwi, mangga, nectarin, tembikai, avocado, grapefruit, orange, betik, delima, prune dan kismis.

Sayur-sayuran: celery, bayam, parsley, sengkuang cina, broccoli, tomato, timun, bunga kobis, asparagus, arthicokes, kentang, keledek dan labu.

3. IKAN : Makan ikan yg kaya dgn omega-3 sekurang2nya 2x sehari, tenggiri(mackerel), sardine, salmon.
Dr Braverman mencadangkan 7 kapsul EPA sehari (min 1000mg/kapsul) @ 3 sudu makan EPA.

4. MAGNESIUM GLUCONATE : Magnesium merehatkan arteri seterusnya membantu merendahkan tekanan darah. Cadangan pengambilan : 500 – 1000 mg (3 dos). *Blh menimbulkan masalah kpd mereka yg mempunyai masalah jantung.

5. Coenzyme Q10 : Penyelidikan menunjukkan kebanyakan mereka yg menghidap tdt kekurangan nutrient penting ini. Cadangan: 60-90 mg 3x sehari selepas makan.

6. SENAMAN : 30 mt senaman aerobic 4x seminggu. Penghidap darah tinggi disaran melakukan senaman ringan dan mudah. Senaman intensity tinggi spt berlari blh memberi tekanan dan trauma kpd penghidap tdt.

7. BAWANG PUTIH : Merendahkan tekanan darah secara semulajadi. Anda blh makan sebyk mungkin samada dlm btk segar / suplemen. Patuhi arahan pada label jika mengambil suplemen.

8. HAWTHORN : Herba ini merehatkan arteri dan menguatkan jantung. Pengambilan 250 mg sehari mampu menormalkan tekanan darah.

9. EMAS COTEK : Kajian menunjukkan rebusan daun emas cotek mampu memecahkan lemak serta membuang kolesterol berlebihan dlm saluran darah, menghindari migraine dan angin ahmar.


SITI JUWAIRAH
Meridian Psychotherapist
Pengamal Perubatan Semulajadi
Pengamal Perubatan Islam

Tuesday, December 2, 2008

Adakah aku sebenarnya sedih dan muram?

(Petikan dari The Electric Boy oleh Andy)

Bagaimana 8 orang pakar kesihatan mental keliru dan silap mendiagnosku sepanjang lebih dari sedekad aku berjuang dengan penyakit mental ini?
Apabila ditinjau kembali ianya mudah. Ia telah mencelarukan hidupku sejak usiaku 8 tahun hingga umurku mencecah 30an.

"Saya ingin berterimakasih kepada semua doktor yang merawat dan mengkucar-kacirkan hidup saya", aku memberitahu hadirin yang hadir pada ceramahku, yang rata-ratanya adalah pakar kesihatan mental secara berjenaka. Bagaimanapun, ianya adil. Aku memainkan peranan penting dalam diagnosis dan rawatanku. Dan aku juga bertanggungjawab diatas segala kesilapan diagnosis. Aku tidak memberitahu doktor yang merawatku gambaran lengkap mengenai penyakitku. Aku silap melaporkan simptom-simptom, aktiviti-aktiviti dan secara umum kelakuanku semasa aku mengalami kemurungan. Aku menyingkirkan sisi penting penyakit mentalku.

Aku tidak boleh tidur langsung untuk beberapa malam. Fikiranku berkecamuk. Aku terlalu memikirkan hal-hal remeh daripada mengilat setiap duit syiling dan menyimpannya hinggalah membasuh pakaianku berkali-kali dengan mesin. Ada hari-harinya aku tersangat letih dan tidur selama 15-16jam. Biasanya aku memberitahu doktor mengenai tidurku yang lama ini dan kelesuan yang kualami kerananya.
"Kemurungan, kamu menderita kemurungan, Andy", doktor memaklumkannya sebelum aku memasuki kolej pada usia 18 tahun.
"Ianya biasa dikalangan remaja", beliau meyakinkanku. Terimakasih banyak. Sekarang aku merasa lega. Aku hidup sahaja dengan kemurungan ini dan lihat samada ia membunuhku atau aku membunuh diriku dahulu. Aku berkata kepada diriku.

Itu adalah cerita 24 tahun dahulu. Aku tidak tahu apa sebenarnya maksud diagnosis kemurungan tetapi aku tahu bagaimana perasaannya - betapa sukarnya mengalami perasaan yang tidak menentu ini. Hari ini aku merasa begitu seronok dengan hidup ini. Keesokannya aku merasa begitu teruk sekali.

Pada tahun 1980, kaedah rawatan yang ada hanyalah terapi percakapan - bersemuka dengan doktor sekali atau dua kali seminggu dan memberitahunya perasaanku dalam minggu itu. "Kita akan membuatkan kamu merasa baik sebelum kamu ke kolej", doktor bagus memberitahuku. Jadi aku berjumpanya dua kali seminggu (ibu akan memandu selama 45 minit sehala) dan sessi terapi ini dirahsiakan. Aku masih ingat bagaimana aku mengharap "perasaan kelam" ini akan pergi tetapi ianya menjadi semakin teruk dan teruk! Aku merasakan akulah sesatunya manusia di planet ini yang mengalami kemurungan. Aku masih ingat betapa takutnya aku. Aku merasakan aku dipukul jatuh dan mamai. Aku menangis sepanjang masa. Tetapi aku mempunyai saat-saat yang bagus juga. Aku pernah merasa sungguh bahagia seakan berada di puncak dunia dan terawang-awang. Tetapi aku tidak pernah memberitahu ahli terapiku perasaan ini. Aku tidak pernah merasakan perasaan ini ada kaitannya dengan keadaan diriku dan diagnosisnya bahawa aku mengalami kemurungan remaja.

Terapi dengan doktor bagus (aku suka memangginya begitu) terhenti ketika aku berpindah dari bandar New Jersey ke kawasan kedesaan Connecticut. Aku mendaftar sebagai pelajar kolej dan berharap aku boleh meninggalkan perasaanku selama 18 tahun itu jauh-jauh. Tetapi sebaik sahaja di kampus, aku sedar mereka mengikutiku. Adakah suasana desa membuatku lebih baik atau lebih teruk? Jawapannya: teruk. (Jadi duduk di bandar bukanlah penyebabnya!) Aku terus memohon bantuan dari program kesihatan mental di kampus. Minggu berikutnya aku memperolehi temujanji dengan seorang ahli terapi, wanita berusia awal 30an yang sangat menarik. Beliau mendengar segala kisahku tanpa memberikan aku sebarang maklumat mahupun diagnosis. Akhirnya beliau memberitahuku suatu khabar yang agak memeranjatkan: Aku menderita kemurungan remaja. Aku seakan tidak percaya diagnosis ini memerlukan 4 ke 5 sessi terapi. Terapi percakapanku berterusan setiap 2 minggu selama 4 tahun aku di kolej. Kebanyakkannya mengenai zaman kanak-kanakku, ketakutan serta kekeciwaanku. Dan aku masih ingat lagi kami banyak berbincang mengenai mimipi-mimpiku yang berwarna-warni yang tercatit dalam buku notaku. Aku mempunyai ingatan yang jelas bagaimana aku lemas setiap malam dan dikejar dalam terowong kemudiannya.

Oleh kerana ianya tahun 80an, apa lagi yang boleh dilakukan untuk kemurungan? Tiada yang memberitahu tentang rawatan perubatan. Meluahkan perasaan adalah yang terbaik untukku pada masa itu.

8.55pm

Monday, December 1, 2008

Tiga langkah mengatasi tekanan dan kemurungan

Kesakitan dan penyakit yang kita hidapi adalah kesan dari tekanan hidup yang
dialami. Tekanan yang melampau melemahkan sistem badan dan menyebabkan penyakit berkaitan tekanan terjadi. Jika tulang belakang anda lemah, anda mudah mendapat sakit belakang. Seandainya system penghadaman anda lemah, anda akan mengalami masalah penghadaman seperti gastrik, mudah kembung dan sebagainya. Jangkitan pula mudah berlaku sekiranya badan anda lemah.

Sebarang penyakit yang menunjukkan symptom fizikal tetapi berhubungkait dengan minda dan emosi dikenali sebagai Penyakit Psikosomatik.

Untuk menyembuhkan penyakit-penyakit fizikal ini, punca tekanan dan penyebab kemurungan perlulah dikenalpasti.

Persoalannya: Bagaimana menghadapi tekanan yang merupakan sebahagian dari gaya hidup masa kini?

Langkah pertama – Kenalpasti bila masanya anda sangat tertekan.
Cara mudah: Sentuh leher anda dengan kedua-dua tapak tangan anda. Jika tangan anda lebih sejuk, anda sedang tertekan. Jika sebaliknya, anda dalam keadaan rileks.

Keadaan-keadaan lain yang menunjukkan anda tertekan:
Tapak tangan berpeluh
Ketegangan otot
Perut yang tidak selesa
Denyutan jantung yang kerap

Langkah kedua – Pelajari cara mengawal tekanan.
Paling mustahak: JANGAN PENDAM PERASAAN ANDA

Mengawal tekanan lebih sihat dan selamat. Anda perlu meluahkan perasaan anda kepada seseorang yang boleh dipercayai, menyertai kumpulan sokongan, pergi bercuti atau berehat sebentar (tinggalkan bebanan kerja anda), mengambil herba-herba dan makanan tambahan (akan dibincangkan dengan lebih lanjut kelak), mengambil makanan yang menyihatkan, gaya hidup yang sihat – tidak merokok dan gemar beriadah, bersikap jujur (berbohong ambil tenaga yang banyak), hilangkan segala perasaan dendam, melakukan kerja-kerja sukarela, membantu mereka yang memerlukan. Ambillah masa dan hargailah diri anda seandainya selama ini anda banyak berkorban untuk orang lain.

Langkah ketiga – Kesanggupan anda

Anda mesti sanggup melepaskan apa sahaja yang diluar jangkaan, yang tidak mampu anda capai. Abaikan segala perasaan bersalah dan kemungkinan-kemungkinan yang selama ini mengawal tingkah laku anda. INGAT! Anda adalah manusia. Anda berhak menentukan hala tuju hidup anda. Anda berhak mengatakan TIDAK pada hal-hal yang anda tidak sanggup lakukan.
Manusia mempunyai emosi. Menangislah tidak kira anda lelaki atau perempuan, muda atau tua jika ianya melegakan. Tidak perlu berpura-pura atau mengalah semata-mata untuk memuaskan perasaan sesetengah pihak. Usah bersikap cerewet dan mementingkan kesempurnaan. Ada ketikanya tekanan yang hebat itu datang dari kita sendiri.

Jbhisyam
1.15pm

Sunday, November 30, 2008

Manifestasi tekanan dan cara mengatasinya

Kehidupan moden hari ini semakin mencabar dan membebankan. Tanggungjawab

setiap individu semakin bertambah. Waktu kerja yang panjang, keperluan untuk bersaing dalam mengekalkan jawatan dan menjadi yang terbaik telah menambahkan tekanan dalam kehidupan.
Untuk sesetengah individu, tanggungjawab kepada keluarga telah memburukkan lagi situasi sedia ada. Ansuran rumah, kereta, insuran, sumbangan untuk ibu bapa telah cukup memeningkan kepala. Ditambah dengan pendidikan anak-anak, pakaian dan mainan mereka, percutian keluarga dan sebagainya.

Tuntutan dalam kerjaya dan kecenderungan untuk membawa pulangan yang mencukupi kepada isi rumah telah menyebabkan ibubapa mengabaikan anak-anak mereka. Pendidikan yang sepatutnya bermula dari institusi keluarga semakin berkurangan. Ibubapa mengharapkan pusat jagaan anak-anak, sekolah dan pusat tuisyen dalam menghasilkan kecemerlangan anak-anak mereka. Malangnya, institusi-intitusi ini lebih menitikberatkan ilmu akademik. Anak-anak dianggap berjaya jika memperolehi keputusan peperiksaan yang cemerlang. Amat sukar pujian dan pengiktirafan diberikan kepada mereka yang baik akhlaknya dan mempunyai peribadi yang mulia.

Anak-anak yang tertekan dalam persaingan untuk berjaya akan mengalami masalah sikap dan emosi. Ditambah pula dengan semakin betambahnya bilangan anak-anak yang mengalami konflik keluarga, trauma, ketagihan bahan-bahan kimia (rokok, ubat batuk dan lain-lain), sekolah menjadi institusi yang dihadiri kerana terpaksa. Guru-guru yang juga individu yang mempunyai tanggungjawab sedia ada dan tertekan dengan kehidupan, menjadi lebih tertekan dengan fenomena ini. Jadual kelas yang padat, tugasan mengajar subjek yang tidak disukai dan tiada kepakaran, kerja-kerja pentadbiran dan harapan yang tinggi dari ibubapa dan pentadbiran untuk membentuk kejayaan pelajar-pelajar menghasilkan tekanan yang keterlaluan.
Hakikatnya, kehidupan memang penuh dengan masalah tetapi bukan semua individu boleh menangani masalah itu sendiri. Apatah lagi jika masalah itu diluar bidang kuasa kita. Bantuan luar seperti kaunseling dan psikoterapi perlu dilihat keperluannya sama seperti pergi ke klinik untuk masalah dan penyakit tubuh badan. Mungkin ramai yang tidak menyedari kecelaruan minda berkait dengan masalah fizikal (penyakit psikosomatik). Antaranya ialah masalah penghadaman, sakit kepala dan selalunya jantung berdebar.

Kita perlu menyedari kenaikan harga minyak dan barangan lain adalah diluar kuasa kita. Apa yang boleh kita lakukan adalah mengubah gaya hidup dan sikap kita dalam berbelanja untuk meneruskan kehidupan ini. Asas ilmu ekonomi memberitahu supaya membezakan antara keperluan dan kehendak. Kita memerlukan tempat berlindung, pengangkutan dan pakaian sebagai asas kehidupan. Maka, pastikanlah ianya di sekitar kemampuan kita. Sebagai panduan, pendapatan setiap individu perlu dibahagi kepada tiga bahagian. Sepertiga untuk ansuran rumah dan kereta, satu bahagian lagi untuk perbelanjaan dan bakinya sebagai simpanan dan tabungan ketika kecemasan.

Bagi mereka yang tidak mampu mengamalkan bajet ini, anda boleh memulakan dengan memecahkan pendapatan isi rumah anda kepada lima pecahan. Dua perlima iaitu 40% untuk ansuran rumah dan kereta, 40% lagi untuk perbelanjaan dan bakinya 10% untuk simpanan. Sama-samalah kita mendidik diri untuk berpuas hati dengan apa jua rezeki yang diberi oleh ALLAH.

Kegagalan membezakan antara keperluan dan kehendak akan membuahkan tekanan yang berterusan dan seterusnya menghasilkan masalah emosi dan spiritual. Jika tidak dirawat ianya boleh mencelarukan minda yang akhirnya mencetuskan penyakit psikotik. Tekanan yang keterlaluan akan menganggu keseimbangan kimia otak. Paras Serotonin, Dopamine, Norepinephrine dan GABA akan merosot. Akibatnya, perasaan gembira, tenang dan yakin akan digantikan oleh kesedihan dan kemurungan , mudah letih, tidak bermotivasi dan menganggu ‘mood’ seseorang.

Individu yang tidak mampu mengawal diri akan mengalami kebimbangan dan kemurungan melampau, ‘obsessive compulsive disorders (OCD)’, masalah sistem saraf, gangguan dwikutub (bipolar disorder) dan kes yang lebih teruk membunuh diri. Buletin Utama TV3 pada Jumaat 13 Jun melaporkan 6% remaja cenderung membunuh diri. Apa yang membimbangkan ialah seandainya delusi untuk membunuh diri disertai dengan delusi ganas (violence delusion) dimana penderitanya mahu ramai orang mati bersama-samanya?

Senaman merupakan rawatan alternatif yang murah dan berkesan untuk mengurangkan masalah-masalah di atas. Pendekatan holistik mencadangkan senaman seperti yoga, tai chi, gi gong dan pilates. Senaman-senaman ini menghasilkan kesimbangan tenaga badan (Ki energy) dan memperbaiki peredaran darah yang terganggu akibat tekanan. Senaman juga mengajar kita teknik pernafasan yang baik untuk mengekalkan paras oksigen yang mencukupi untuk kesihatan otak.

Perubahan dalam amalan pemakanan adalah perlu. Minuman dan makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi begitu juga yang berkafein perlu dielakkan sama sekali. Kopi perlu digantikan dengan teh yang kaya dengan anti-oksidan dan bersifat menenangkan. Makanan tambahan yang kaya dengan B12, B6, Vitamin D3, folate, Vitamin C, Kalsium dan Magnesium amat baik untuk kesihatan emosi dan mental. ‘Trytophan’ dan ‘Omega-3 Fatty Acids’ juga membantu dalam mengurangkan kebimbangan dan kemurungan.
Persekitaran rumah, sekolah dan pejabat juga mestilah bebas dari tenaga negatif. Cahaya matahari yang mencukupi dan peredaran udara yang baik amat perlu dalam mengekalkan kesejahteraan tubuh badan juga minda. Gunalah warna-warna alam yang semulajadi dan mendamaikan untuk mengindahkan lagi kediaman, sekolah dan tempat kerja. Elakkan warna-warna yang terang dan garang yang boleh menaikkan lagi darah dan merangsang saraf seterusnya mencetuskan perilaku negatif.

Islam telah mengajar umatnya melakukan terapi air (hidroterapi) sekurang-kurangnya lima kali sehari. Amalan berwuduk bukan sahaja menyegarkan tubuh dan minda malah memberikan ketenangan pada pengamalnya. Gabungan hidroterapi dan aromaterapi amat sesuai untuk merilekskan tubuh badan yang tegang dan minda yang keletihan. Mandian air suam ditambah ‘lavender’ dan ‘chamomile’ boleh dilakukan sendiri di rumah tanpa mengeluarkan belanja yang banyak. Belailah anak-anak dengan haruman-haruman ini supaya mereka berasa lebih tenang dan mendapat tidur yang nyenyak.

Imaginasi dengan membayangkan tempat-tempat yang cantik dan menenangkan seperti taman bunga, tasik, sungai dan laut telah terbukti dapat mengurangkan tekanan dan meredakan kemarahan. Bunyian semulajadi seperti kicauan burung dan deruan air terjun juga boleh menenangkan minda yang bercelaru. Dengarlah alunan muzik instrumental dan sentimental, bacaan ayat-ayat Quran, zikir dan selawat supaya jiwa menjadi tenang dan damai.
Sebenarnya pelbagai cara boleh dipraktiskan untuk menguruskan dan mengatasi tekanan. Setiap individu berhak untuk kehidupan yang lebih baik. Jika dahulu anjakan paradigma memberi kejayaan dan kekayaan kepada mereka yang mahir dalam teknologi maklumat. Hari ini kekuatan emosi dan spiritual diperlukan untuk meneruskan kehidupan dan membuahkan kejayaan.

Jbhisyam,
Meridian Psychotherapist
1 Dis 2008