Wednesday, March 25, 2009

Kesihatan mental dan paranormal

Sakit jiwa tiada kaitan makhluk halus

Syabas dan sekalung tahniah kepada pihak tuan kerana mengupas isu “Kenapa ramai umat
islam mahu bunuh diri?”. Namun, ada beberapa isu penting yang saya rasakan perlu dikupas dan diketengahkan di masa akan datang.

1. “Malangnya bagi orang Melayu penyakit kemurungan sering dilihat sebagai penyakit buatan orang atau dirasuk hantu” (MS 11) adalah satu tuduhan yang agak melulu. Berdasarkan pengalaman saya bergaul dengan kaum Cina dan India, mereka juga percaya kepada gangguan makhluk asing.

Majoriti orang Melayu beragama Islam. Di dalam Al-Quran menceritakan tentang kisah ilmu sihir pada zaman Firaun. Ayat 102 Surah Al-Baqarah pula menyatakan tentang pengaruh jin untuk memisahkan suami isteri. Hadis Nabi SAW juga ada menceritakan kisah nabi disihir. Di dalam buku Rawatan Penyakit Menurut Konsep Sufi tulisan Mukhlas Syah, para ulamak bersetuju bahawa makhluk halus iaitu jin dan syaitan adalah salah satu sebab manusia itu sakit. Antaranya ialah panas atau sejuk pada waktu tertentu, berdarah dan lebam-lebam tanpa sebab nyata, muntah, lumpuh dan kuat bercakap (mengomel mahupun berleter; mereka yang mania mempunyai ciri ini). Hadis Nabi riwayat Imam Ahmad menceritakan Nabi SAW mengesahkan penyakit taun juga adalah penyakit yang disebabkan oleh jin.

Jin menganggu manusia melalui dua cara. Pertama, secara luaran. Samada kita terpijak atau terkencing atau terusik makhluk-makhluk ini. Perlu diingat jin ada dimana-mana. Umumnya masalah ini lebih mudah diubati dan disembuhkan dari sebab kedua. Hakikatnya nenek moyang kita dahulu bersahabat dengan jin. Amalan-amalan kurafat ini kemudiannya diturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Semangat padi, membuang ancak, mandi safar, pemanis muka, penyedap suara, kelihatan gagah dan sebagainya menggunakan jin sebagai pendamping. Jin-jin yang masuk kedalam badan manusia (saka) akan menyakiti manusia tersebut dengan pelbagai cara sekiranya tuannya ini mempunyai sifat bertentangan dengannya. Makhluk-makhluk halus ini akan berpadu dengan bomoh-bomoh yang juga menggunakan jin. Maka hasilnya akan keluarlah tuduhan sidia menggunakan ilmu sihir kepadanya. Ada juga dikalangan manusia yang menggunakan ilmu sihir untuk membalas dendam, dengki dan sebagainya.

Jin dibuat dari api. Manusia dari tanah. Apabila tanah itu tidak disirami dengan air, maka ia akan menjadi panas dan kering-kontang. Jika ini berlaku maka pemilik tubuh akan menderita dan merintih yang membawa kepada penyakit psikosomatik (Psychosomatic Illness). Penyakit psikosomatik yang berlarutan akan mencetuskan tekanan keterlaluan dan seterusnya membawa kepada kemurungan (depression). Mereka yang ada saka dan disihir ini juga akan mengalami trauma yang dahsyat dan diluar jangkauan kita. Seseorang yang disihir pelalau misalnya akan mengalami masalah dalam percaturan jodohnya. Saya mengetahui kisah seorang pemuda yang telah bertunang lebih sepuluh kali dan masih gagal bertemu jodoh. Sudah tentu ini menimbulkan kemurungan yang teruk (severe depression). Beliau dan keluarganya sudah tentu merasa malu. Ini sudah cukup untuk memberikan tekanan jiwa yang mencetus kepada masalah emosi dan mental. Begitu juga dengan mereka yang dikenakan pengasih (minyak dagu, misalnya). Mangsa akan melihat wajah manusia yang mengenakannya dan juga kubur. Ini kerana minyak dagu diperolehi dari wanita yang mati dibunuh. Jiwa yang dipaksa untuk mencintai dan mengasihi seseorang yang tidak disukainya pasti akan merana. Ketika proses pengubatan pula mereka biasanya akan meracau dan menjerit-jerit. Pesakit yang kuat rohnya akan mengingati apa yang berlaku tanpa kawalannya. Ini akan mengakibatkan “Post Traumatic Stress Disorder”, diikuti dengan kemurungan klinikal (clinical depression)dan kebimbangan (anxiety) juga kegelisahan (irritability) yang teruk. Mereka yang diganggu saka juga mengalami penderitaan yang sama kerana penyakit-penyakit mereka tidak dapat diubati secara saintifik. Ada banyak kes wanita yang mengalami keguguran tetapi hakikatnya mereka normal dan tiada masalah kesuburan. Seorang wanita pernah berkongsi masalah kakaknya yang tidak boleh dibedah sehingga doktor menyuruh mereka memanggil pengamal perubatan islam. Secara logiknya, mana ada pisau bedah yang tidak mampu memotong kulit manusia?

Mereka yang mempunyai saka merasakan ada makhluk lain dalam dirinya. Akibatnya, mereka mengalami halusinasi dan delusi (psikotik) audio dan visual. Prof Kay Redfield Jamison, prof. psikiatri di John Hopkins University, USA didalam bukunya “An Unquiet Mind” berkongsi pengalamannya sebagai penghidap kecelaruan bipolar dan menyatakan bahawa dalam dirinya ada individu lain yang mahu menguasainya. Beliau juga mengalami halusinasi dan delusi. Beliau merupakan pencetus kepada kajian kecelaruan bipolar yang digolongkan sebagai kecelaruan mood. (Kemurungan juga merupakan sejenis kecelaruan mood). Kecelaruan bipolar adalah lebih serius. Kajian menunjukkan ianya adalah penyakit genetik (biologi). Menurut Dr Azhar, lebih 90 peratus kes bunuh diri disebabkan oleh faktor biologi, bukan sosial atau psikologi. Bagaimanapun, jika dirawat dan ditangani dengan betul, penghidap bipolar lebih berjaya dari orang biasa kerana umumnya mereka kreatif dan mempunyai banyak idea hebat. Artis, penulis, pelukis dan pemimpin ramai yang didiagnos menghidap bipolar. Antaranya, Vincent van Gogh, Leornando da Vinci, Beethoven dan Winston Churchill (sekadar menyebut beberapa nama). Tanpa mereka tidak akan ada karya dan ciptaan agung. Namun, mereka yang tiada arah tuju dan matlamat hidup juga boleh menderita bipolar. Golongan inilah yang akan sakit jiwanya dan menyebabkan orang sekelilingnya mengalami tekanan hidup.

2. “Bajet yang besar amat diperlukan kerana ia bukan hanya untuk merawat penyakit berkenaan tetapi untuk menangani stigma masyarakat” (MS 11).

Masyarakat kita perlu dididik supaya menjadi “knowledge based society”. Pengalaman saya memberitahu pengamal perubatan seperti pegawai perubatan keluarga dan jururawat kurang berpengetahuan dalam menangani masalah emosi dan mental. Saya pernah menghadiri satu seminar bertajuk “Wanita Metropolitan: Sihat Fizikal, Emosi & Mental, Sejahtera Spiritual, Seksual & Sosial” yang disampaikan oleh seorang Prof Madya dalam bidang perubatan. Saya terkilan dan kecewa di atas sikap beliau ketika membentangkan topik “Kesihatan Emosi: Kemurungan Klinikal”. Beliau membincangkannya secara berjenaka dan ramai penonton ketawa. Tetapi saya memandang topik ini sebagai topik yang serius dan perlu diberi perhatian.

Semakin ramai yang mengalami konflik hidup akibat ketidakstabilan ekonomi. Malahan, berdasarkan kes-kes yang saya tangani, majoriti telah sedia ada konlik dalaman diri. Keadaan ini diterukkan lagi oleh sikap pasangan, ibu bapa dan masyarakat yang ‘demanding’ dan materialistik. Tuntutan dan gaya hidup moden juga menyebabkan ramai yang semakin melupakan aspek-aspek kesejahteraan spiritual; hubungan dengan Rabb, hubungan dengan manusia dan hubungan dengan alam sekitar! Hakikatnya ramai yang tidak tahu tanda-tanda awal mereka menghidapi kecelaruan emosi dan mental. Doktor dan jururawat juga seakan tidak serius apatah lagi jika melihat pesakit datang sendiri untuk mendapatkan rawatan. Saya sendiri merawat diri saya berdasarkan pembacaan dan penyelidikan di internet. Biasanya saya yang memberitahu doktor saya perlukan ubat penenang dan anti-depressan.

3. “perbuatan cubaan membunuh diri harus dilihat sebagai penyakit yang wajar diberi perhatian” (MS8). Kenyataan ini adalah kenyataan yang terlalu rapuh.

Perlu diketahui bahawa keinginan dan cubaan membunuh diri adalah episod terakhir seorang pemurung dan ianya dikategorikan sebagai kemurungan klinikal; pesakit perlukan terapi holistik; percakapan (psikoterapi), terapi ubat-ubatan, senaman dan sebagainya. Mereka yang didiagnos pada tahap ini lazimnya mengalami masalah dalam pembelajaran mahupun kerjaya. Keadaan ini diterukkan lagi oleh keperluan menyembunyikan penyakit akibat kebimbangan kehilangan pekerjaan. Malah, pada tahap ini ada yang mengambil keputusan berhenti kerja kerana ketidakmampuan mengurus diri. Penyakit akibat kecelaruan mental tidak dilindungi oleh insuran di negara kita. Selain bebanan kewangan, stigma masyarakat juga menyebabkan ramai yang menderitai konflik dalaman diri ini. Masyarakat kita mengaitkan kecelaruan mental sebagai gila walhal ada pelbagai jenis penyakit mental! Dan setiap individu mempunyai kemungkinan untuk mengalami episod kecelaruan mental dalam hidupnya. Walaubagaimanapun, pengetahuan dan sikap keterbukaan amat membantu menangani penyakit ini kerana ianya boleh dirawat dan menjanjikan kesembuhan.

Saya bersedia berkongsi maklumat dan pengetahuan serta rawatan mengenai kecelaruan emosi, mental dan spiritual. Perlu diingati masalah psikologi (yang berkait dengan emosi seperti gangguan tidur, tekanan dan “burn-out, food craving and addiction, obesity, interpersonal conflict, phobia and trauma, low self-esteem and confidence, etc” ) yang dibiarkan akan mencetuskan masalah psikiatri (“depression, clinical depression, anxiety, manic-depressive (bipolar disorder), obsession and compulsive disorder, anger and violence, post-traumatic stress disorder, panic attack, schizophrenia). Kesemua ini mengurangkan produktiviti. Akhbar STAR (10 Disember 2008), melaporkan bancian menunjukkan semakin ramai rakyat Malaysia mengambil cuti sakit.