Saturday, April 25, 2009

Artis atau Penghibur

Istilah artis diterbitkan dari perkataan ‘art’, bermaksud seni dalam bahasa Melayu. Seni terbahagi kepada beberapa kategori: Seni halus merujuk kepada seni lukis dan seni ukiran. Seni persembahan untuk bidang nyanyian, lakonan dan tarian.

Penulisan dan fotografi juga memerlukan kreativiti. Malah dalam perniagaan, wujudnya istilah ‘art of the deal’ yang bermaksud seni urus janji.

Kajian David Keirsey merumuskan manusia mempunyai empat pembawaan. Salah satunya ialah Artisan. Personaliti artisan bukan sahaja cemerlang dalam bidang seni. Mereka juga mempunyai kebolehan semulajadi untuk berjaya sebagai atlit, tentera, ahli politik, mekanik, pereka fesyen, penghias dalaman dan perunding perniagaan. Juga pengasuh kanak-kanak dan guru tadika!

Lihat sahaja bagaimana Rafael Nadal dan Roger Federer, dua personaliti unggul dalam sukan tenis mengkoreografikan permainan mereka. Corak permainan yang menarik, pukulan dan aksi-aksi hebat mereka amat menghiburkan. Jika Celine Dion mendapat tepukan gemuruh di Madison Square Garden, Rafael Nadal mendapat penghormatan dari seluruh penonton di Rod Laver Arena, Melbourne.

Artisan diperincikan lagi kepada empat watak iaitu penghibur (penyanyi, pelakon, pelawak, penari), penganjur, komposer (penggubah lagu, penulis lirik, novelis) dan artis (pelukis, pengukir, pengusaha kraftangan).

Oleh sebab itu, di Perancis artis popular ialah Leonardo DaVinci, Pablo Picasso, Michaelangelo, Vincent van Gogh (sekadar menyebut beberapa nama). Di Malaysia?

Saya juga seorang penghibur, di atas pentas yang berbeza dengan skrip dan lirik yang tidak pernah sama.

SITI JUWAIRAH,
Ahli psikoterapi alternatif komplementari.

No comments: