Tuesday, April 7, 2009

Personaliti dan kerjaya impian

Keputusan peperiksaan SPM dan STPM setiap tahun semakin memberangsangkan. Ibubapa yang anak-anaknya mendapat keputusan cemerlang merasa bangga dan puas dengan kejayaan mereka. Guru-guru juga tersenyum lebar apabila sekolah mereka dinobatkan sebagai antara sekolah yang baik pencapaiannya.

Mereka yang mendapat keputusan yang baik merasa lega kerana berdasarkan pencapaian akademik, mereka boleh memilih mana-mana kursus yang mereka layak. Apatah lagi yang cemerlang, yang seimbang otak kiri dan kanannya. Semua institusi pendidikan mengalu-alukan mereka.

Bagaimana dengan mereka yang kurang cemerlang? Yang tidak berjaya? Apakah ini bermakna peluang mereka untuk mengapai kerjaya impian telah musnah? Persoalannya, wajarkah kursus dipilih berdasarkan pencapaian akademik sahaja? Mestikah seseorang yang cemerlang dalam sains dan matematik meneruskan kursus dalam bidang yang sama di institusi pengajian tinggi? Mengapa minat dan personaliti tidak di ambil kira? Inilah dilemma yang saya alami pada tahun 1988. Keinginan saya untuk mengambil kursus psikologi di United Kingdom telah disangkal kerana saya sangat sangat layak untuk ditabalkan sebagai seorang jurutera atau saintis kelak. Kursus-kursus seperti psikologi dan pentadbiran perniagaan telah dikhaskan untuk mereka yang masih mendapat keputusan yang baik namun kurang cemerlang dalam sains. Bapa pula berkeras mahu saya mengambil kursus perubatan.

Rupanya dilemma yang sama dihadapi oleh pelajar-pelajar sekarang. Mereka akan didorongkan menjurus bidang yang berkaitan dengan kelayakan akademik mereka. Hakikatnya, kajian personaliti membuktikan kecemerlangan individu sangat berkait rapat dengan nilai-nilai dalam diri. Seorang pelajar yang layak menjadi jurutera berkemungkinan lebih cemerlang sebagai ahli akademik. Mungkin juga pelakon popular. Individu yang disangka mempunyai kelebihan otak kiri sebenarnya mempunyai otak yang seimbang!

Personaliti ‘artisan performer’ adalah individu yang boleh cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburinya. Apatah lagi jika beliau memiliki otak yang seimbang, terhasilah individu yang seimbang kebijaksanaan dan daya kreativitinya. Namun, seandainya mereka mengikuti kursus yang berasaskan peperiksaan, kecemerlangan mereka akan mula merudum kerana mereka lebih sesuai belajar secara ‘hands-on’.

Zaman semakin pantas berubah. Semakin mencabar dan menghimpit. Beranilah keluar dari kepompong keselesaan. Mentaliti makan gaji sudah ketinggalan zaman. Berhentilah mengagung-agungkan kerjaya tertentu. Kita memerlukan jurnalis yang pakar dalam bidang sains dan teknologi. Kita mesti melahirkan peguam yang pakar dalam kes-kes perubatan. Penulis dan novelis yang boleh memberikan kesan yang hebat dalam karya-karyanya.

Hakikatnya, setiap individu memiliki kekuatan dan kelemahan. Perbaikilah kelemahan diri, serlahkan, gilaplah segala kekuatan tersembunyi. Daya kepimpinan dan kreativiti walaupun anugerah dan bakat semulajadi, masih boleh dipelajari dan mesti dikuasai. Bukan semua yang pandai berhujah, berpidato boleh menjadi pemimpin yang baik. Gabungan personaliti popular dan berkuasa (antara kekuatan mereka ialah berani dan bijak berkata-kata), seandainya tidak memperbaiki kelemahan diri akan menjadi seorang yang suka menguasai orang lain. Mahu semua orang mengikut kehendaknya, merasakan pendapat beliau sahaja yang betul.

Kepada pihak media terutamanya televisyen, lakukanlah kajian terperinci untuk semua program anda. Pengacara yang hebat seperti Oprah Winfrey ialah seorang idealis, bukan artis. Menurut kajian Keirsey dan Myers-Brigg, ada enam belas personaliti di dunia ini. Penonton mahu juga berkongsi kisah dan pengalaman hidup golongan lain. Usahlah menyempitkan fokus anda kepada golongan tertentu sahaja sehingga kami merasa muak. Luaskanlah minda rakyat Malaysia.

Islam mahukan penganutnya seimbang dunia akhirat. Seandainya kita mampu melahirkan lebih ramai personaliti sebegini, InsyaAllah Melayu bukan sahaja tidak hilang di dunia tetapi mampu mengkagumkan seluruh alam maya. Lahirlah individu yang melakukan sesuatu berasaskan minat dan keghairahan, mementingkan kepuasan dan keberkatan bukan keuntungan semata-mata. Individu cemerlang adalah individu yang mengutamakan ketaqwaan, bukan mematlamatkan kemewahan.

Nota: Beliau ialah seorang penulis, perunding dan penceramah bebas dalam bidang psikoterapi alternatif dan komplementari. Beliau boleh dihubungi melalui e-mel: sitijuwairah@gmail.com

No comments: