Wednesday, September 14, 2011

54 TAHUN MERDEKA: Kita Masih Sama dan Serupa!

BEBERAPA hari sebelum Aidilfitri saya menerima sepucuk surat mengesahkan saya boleh mengambil kunci rumah baru. Hmmm….setelah aduan dibuat (Hotline Malaymail), kes yang tertunggak selama 5 bulan boleh pula diselesaikan dalam masa seminggu.

Lucunya, surat dari seorang Melayu kepada Melayu di Tanah Melayu tetapi tidak menggunakan bahasa Melayu! Oh! Benarlah saya Melayu yang mudah lupa. Bukankah surat itu datangnya dari syarikat berkaitan kerajaan yang lebih suka dikenali sebagai GLC? Eh! Kata orang Cina, C itu mati!

Nenek moyang ada berpesan, kalau tidak tahu menari usahlah menyalahkan lantai. Kalau tidak pandai Sains dan Matematik, usahlah bahasa dijadikan isu!

Desakan pihak Persatuan Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) supaya bahasa Inggeris dikembalikan untuk pengajaran Sains dan Matematik seolah-olah menidakkan kelayakan mereka yang segenerasi dengan saya. Apakah segala kelayakan kami tidak mendapat pengiktirafan anda semua?

Walhal generasi kami yang belajar Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda di peringkat sekolah telah terbukti mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Matematik itu ilmu mengira. Kebanyakkannya nombor sahaja. Sains pula banyak faktanya. Perlu dihafal prinsip-prinsipnya juga formula.

Saya hanya perlu menulis suatu karangan pendek yang menyatakan kelayakan dan pengalaman saya sebelum diterima melanjutkan pengajian di peringkat kedoktoran dalam bidang Psikologi Naturopati di Amerika Syarikat pada tahun 2007. Tawaran kemudiannya disertakan dengan kad hijau kerana saya membuktikan kesungguhan dalam kerja-kerja penyelidikan.

Jutaan terimakasih kepada emak yang menyusukan saya sehingga usia 2 tahun 6 bulan. Ikatan yang kuat disertai dengan kasih sayang ibubapa yang tidak berbelah bahagi, menyebabkan saya tidak sanggup meninggalkan mereka. Sedarlah! Ilmu boleh dicari di mana-mana. Bahasa hanyalah pengantara.

Ramadhan yang lalu telah pun membuktikan minat dan kepandaian anak-anak Melayu dalam bidang sains dan teknologi. Betapa bijaknya mereka melakukan eksperimen. Bayangkan tanpa tunjuk ajar guru-guru mereka telah mencipta mercun buatan sendiri? Saya percaya rata-rata mereka bertutur dalam bahasa Melayu. Cuma dialek sahaja yang berbeza.

SEHARI sebelum raya, suami membawa saya melihat dan meninjau kampong-kampong sekitar tempat kelahirannya. Melihat kepada keadaan beberapa rumah, saya merasakan mereka layak diberi bantuan. Tiba-tiba saya terpandang piring Astro. Tetapi langkah terpaksa diteruskan kerana barang telah berada di tangan.
Kasihan! Setelah Malaysia digegarkan dengan operasi BERSIH, tempat tinggal mereka masih kotor.

PADA ZAMAN ilmu boleh dicapai hanya dengan sentuhan jari-jemari, rupanya masih ada lagi ibu bapa yang seperti ketam mengajar anak-anaknya berjalan lurus.
Sebaknya dada ketika mendengar luahan perasaan seorang menantu yang diguna-gunakan oleh mertua supaya sentiasa kasihkannya dan suka balik ke rumahnya. Maklumlah menantu-menantunya dari golongan berada dan bijaksana. Si ibu terlupa anak-anak lelakinya mempunyai citarasa bagaikan mereka dari keturunan raja-raja. Ah! Melayu memang mudah lupa.

Pesakit-pesakit jiwa sebeginilah yang memberi masalah besar kepada masyarakat. Penghidap paranoid skizofrenia masih boleh melakukan tugas-tugas mudah namun tindak tanduk mereka amat pelik! Kebiasaannya cakap mereka tidak serupa bikin. Perbuatan tidak selaras dengan apa yang dituturkan. Mereka umpama sang ular yang memiliki tubuh dan berwajah manusia. Alamak! Ngerinya.

Walaupun dunia sudah hendak beralih arah,
Masih ada yang mempunyai fahaman jahiliah.

Sejarah mengajar kita penduduk-penduduk asal memang dengki dan tidak puas hati dengan golongan pendatang. Sebab itu permusuhan berterusan hingga ke anak, cucu dan cicit. Maka, selepas sambutan raya ramailah yang cirit-birit.

KETIKA menyambung cuti Aidilfitri pada hujung minggu setelah bekerja pada hari Jumaat, saya mengambil kesempatan mengambil angin di tepi pantai Pengkalan Balak. Alamak! Haruman najis binatang gebu masih menguasai alam sekitarnya.
Ketika duduk di patio rumah emak sambil membaca majalah kerana tidak boleh tidur, dapat pula haruman dari si lembu. Maklumlah rumah emak di tepi jalan besar. Apabila ada tayar-tayar kenderaan melanggar dodol-dodol semulajadi yang baru sahaja dikeluarkan, baunya menusuk hingga ke kalbu.

RAHMAT dan kegembiraan Aidilfitri sungguh dirasakan sebaik mendengar dialog anak-anak saudara:
Dina: Eh! Seringgit aje? (Meniru gaya iklan PNB)
Nayli: Eh! Kita kena bersyukur tahu!
Otak kanak-kanak sememangnya kaya dengan gelombang theta. Apa yang dilihat dan didengar terus masuk ke minda luar sedar mereka. Terpahat dihati, disimpan di sanubari.

AIDILFITRI kali ini juga menyaksikan kerjaya perawatan saya yang semakin berkembang. Saya didera bercakap tidak berhenti-henti! Alahai! Ramainya anak bangsaku yang menderita jiwa, raga dan bakulnya.
Di sebalik kegalakan saudara mara, handai dan taulan memohon khidmat nasihat dan perundingan, terselit jua suara-suara pertikaian. Kasihan dia, kasihan dia…..masih mengaitkan populariti dan kewibaan. Terlupa bahawa perawat-perawat sejati lebih selesa berbakti di belakang tabiran.

Masih ramai golongan cendekiawan yang tidak tahu apakah itu penyakit-penyakit psikosomatik. Alah….sudah keluar universiti, buat apa belajar lagi?

Manakan tidak. Di media asyik memutarkan isu yang sama. Semakin ramai lelaki yang telah menukar namanya menjadi si Mad. Kasihannya…..mengapa begitu paranoid dengan segelintir golongan neurotik ?

Berhentilah sebelum nasi menjadi bubur dan meretakkan mangkuk dan pinggan. Bimbang nanti mereka yang produktif menjadi semakin bosan, bosan dan bosan.

Sebagai anak bekas tentera, abah sentiasa kami anggap sebagai wira sejati. Sebab itu adik lelaki belikan abah sebuah kereta Proton Wira.
Abah berada di Sabah dan Sarawak semasa konfrontasi Malaysia dan Indonesia. Emak pula di Melaka menjaga arwah nenek yang menderita kanser tulang disamping menjaga abang dan sedang mengandungkan saya. Maka usahlah kalian hairan dengan semangat juang anaknya yang hanya takutkan Tuhan.

Abah tidak pernah gentar mengejar komunis sehinggalah pada tahun 1977 setelah adik bongsu lahir. Cerita abah, langkah abah terhenti kerana terbayangkan wajah-wajah kami. Abah akhirnya meletakkan jawatan setelah 15 tahun berkhidmat dengan Rejimen Askar Melayu Diraja.
Maaf! Saya terpaksa berhenti. Terlalu syahdu. Airmata bercucuran bagaikan hujan.

Orang tua sibuk tayangkan koleksi pinggan,
Orang muda hanya mahu jamah hidangan,
Alah…tak payahlah keluarkan pelbagai cawan,
Kami hanya mahukan secangkir minuman.

Ayuh bangsaku! Usahlah terus layu. SEGARkan diri anda.
Salam Aidilfitri di bulan kemerdekaan. Semoga kita benar-benar MERDEKA.

Maaf dipinta kepada sesiapa yang terasa,
Kini akupuntur guna teknologi laser.

SITI JUWAIRAH ABD WAHAB,
Ahli Psikoterapi Meridian (ICHM).

No comments: