Tuesday, September 6, 2011

WANITA DAN KECELARUAN MENTAL

UNTUK MENJADI WANITA yang diterima dalam masyarakat, anda mesti menepati piawaian-piawaian berikut:

Paras rupa yang sepadan dengan suami; bagai pinang dibelah dua. Lebih molek lagi jika bagai cincin dengan permata. Adalah suatu kelebihan jika anda datang dari keluarga yang mempunyai taraf ekonomi yang baik dan keturunan yang baik-baik. Lebih menyerlah seandainya anda mempunyai pekerjaan yang bagus, menguasai ilmu-ilmu rumahtangga dan mampu pula melahirkan zuriat lelaki sebagai pewaris takhta.

Aduh! Hebatnya. Bagai cerita sang penglipur lara. Hakikatnya, adakah manusia yang tiada cacat-cela?. Berapa ramai wanita yang hebat dalam segala-galanya?

Tidak dinafikan sememangnya ada yang cemerlang dalam kerjaya dan perniagaan malah sangat bernasib baik. Memperolehi kehidupan ibarat cerita dongeng dan khayalan. Namun perlu diingatkan, majoriti menempuh kehidupan yang tertekan dan hajat sering tidak kesampaian.

Nah! Di sinilah letaknya peranan ilmu psikologi. Dan bila bercakap tentang subjek ini, sayugia diingatkan ianya bukan MOTIVASI. Motivasi hanyalah satu topik dalam subjek psikologi.

Dengan semakin banyak pendedahan tentang pelbagai keanehan perangai masyarakat Malaysia akibat dari masalah jiwa, maka yang lebih diperlukan oleh masyarakat ialah TERAPI. Kita perlu ada ahli psikologi seperti Dr. Phil; bukan setakat Dr. Oz sahaja.

Fitrah kejadian Tuhan, wanita tetap lemah dan memerlukan sokongan kaum Adam dalam segala hal. Walau kental jiwanya, terselit jua keletah manja dan mudah terasa; lebih sensitif berbanding lelaki. Diciptakan dengan Sembilan nafsu, mengalami pula perubahan hormon setiap purnama. Aduh! Betapa keras pun tetap rapuh jua.

Tidak hairanlah mengapa wanita lebih cenderung mengalami kemurungan, keresahan dan kebimbangan yang keterlaluan. Diperingkat global, penyakit-penyakit ini telah mencapai tahap epidemik dan disenaraikan sebagai antara sepuluh penyakit popular.

ZAMAN BERUBAH DENGAN begitu pesat. Sebaliknya ramai di antara kita masih hidup dibawah kongkongan adat budaya. Sebagai anak, wanita diharapkan mambantu ibu di dapur tetapi mesti berjaya dalam pelajaran seperti adik atau abang.

Setelah berkerja pula wanita diharapkan membantu keluarga dalam hal-ehwal ekonomi. Walau telah berumahtangga, masih ramai wanita yang perlu membantu kewangan keluarga; berdasarkan aduan-aduan yang sampai ke pengetahuan saya. Malah, adik-beradik lelaki kalau ada masalah duit akan memohon bantuan dari adik atau kakak.

Ibu-ibu, bapa-bapa juga lebih selesa di rumah anak-anak perempuan. Maka, sudah tentulah tanggungjawab menjaga ibu-bapa yang telah tua sekali lagi diletakkan di bahu anak-anak perempuan. (Bukan semua. Saya tahu ada menantu perempuan yang menjaga ibu mertuanya yang uzur. Ada juga menantu perempuan yang lebih selesa dengan mertua.)

DALAM MASYARAKAT KITA, menceritakan hal-hal rumahtangga dianggap taboo. Di cap sebagai wanita yang kuat mengadu.
‘Alah, kak. Kalau cerita pun bukannya orang faham masalah kita.’
‘Betul tu, dik. Akak dulu pun baru nak buat janjitemu dengan ahli psikiatri, dah kena sindir dengan jururawat. Ai! Teruk sangat ke masalahnya? Siap senyum sinis lagi. Nak buat macam mana dik. Bukan semua di bidang perubatan kisah dengan penyakit-penyakit GHAIB ni. Orang biasa tak payah cakaple…. Mudah aje cap orang gila, sewel!. Walhal betapa banyak kerja orang-orang yang dikatakan gila dan sewel yang membuatkan mereka terpesona.’

Dalam masyarakat MELAYU khususnya, ramai lelaki yang menyukai wanita-wanita yang mudah dikuasai – mendengar kata, lemah lembut dan dalam masa yang sama mampu berdikari dan tidak menyusahkan suami. Namun mesti hebat di semua tempat dan suasana. Di ranjang, di dapur dan di tempat kerja!

Seolah-olah menjadi suatu gaya hidup (trend) masa kini, semakin ramai wanita yang menanggung suami dan anak-anak. Gaji suami habis digunakan untuk menanggung keluarganya atau pun untuk memuaskan obsesi mereka.

Kemudahan memperolehi pinjaman dari institusi kewangan menyebabkan ramai ibu bapa yang mendesak anak-anak mereka menunaikan hajat-hajat yang tidak kesampaian. Belanja bulanan, membeli kereta, membuat atau mengubahsuai rumah termasuk juga hal ibadah seperti haji dan umrah.

‘Alahai anak-anak. Malu rasanya jika tak ke sana. Takut dianggap tak kenal agama.’
‘Wahai ayah bonda, datuk dan nenda. Umrah itu hukumnya sunah sahaja. Berdoa boleh dimana-mana. Jika datang dari hati yang ikhlas dan bersungguh, dimakbul jua Yang Maha Kuasa. Haji itu wajibnya pada yang berkemampuan. Perlu difikirkan apakah balik nanti cukup minum dan makan.’

Prinsip biar papa asal bergaya seolah-olah telah meresap ke SATU Malaysia!

Bagi anak menantu yang mampu, kesannya mungkin boleh ditoleransi lagi. Bolehlah berpantun begini:
Seluklah poket tepuklah dada, usahlah kita gundah gulana,
Buatlah bajet hiduplah seadanya, Islamkan suruh hidup sederhana?

Tetapi bagaimana dengan anak-anak yang kurang atau tidak mampu? Aduhai….menderitalah jiwa dan raga. Bertambah beratlah bakul-bakul mereka.

Aduhai suamiku, aku tahulah dia ibumu. Namun mengapa lidahmu kelu, diam membisu umpama batu?
Duhai isteri yang cantik rupawan, aku memang malas nak layan. Bersabarlah, anggaplah ini dugaan Tuhan, mudah-mudahan kita lebih beriman.

Aduhai suami. Mudahnya menyerahkan pada Yang Maha Esa. Walhal diri sendiri kurang berusaha. Bukankah kita ada ilmu dan pelajaran? Gunakanlah supaya mencapai titik keseimbangan.

Zaman sekarang sama-sama cari nafkah, kasihanilah isterimu yang asyik mengalah.

KEADAAN FIZIKAL DAN MINDA para ibu sangat mempengaruhi emosi dan jiwa anak-anak. Dengan semakin ramai ibu-ibu yang tertekan, maka semakin ramailah anak-anak yang bercelaru minda, jiwa dan raga. Kajian di Amerika Syarikat mendapati 45% pelajar-pelajar kolej menunjukkan tanda-tanda kemurungan yang serius. Di Malaysia pula, secara purata 7 orang membunuh diri setiap hari. (Kajian yang diterbitkan pada tahun 2008)

Khabarnya di sebuah institusi untuk golongan bumiputera yang terletak di Pantai Timur, ramai pelajarnya ketagihan alkohol. Ada yang tanpa segan silu bercium mulut di dalam kelas!

Penyakit-penyakit fizikal saling berkait dengan penyakit-penyakit psikologi. Mereka yang mudah marah berisiko 300 kali ganda untuk mengalami serangan sakit jantung. Ketagihan makanan dan bahan terhasil dari emosi yang berkecamuk, mood yang turun naik dan badan yang letih.

Malah penyakit psikiatri yang diketahui berpunca dari faktor keturunan pun boleh menyerang sesiapa. Mereka yang tidak mencabar mindanya dan menyalurkannya ke bidang yang betul boleh menderita kecelaruan bipolar (Murung dan mania silih berganti).
Begitu juga dengan mereka yangterlalu rileks, tidak bekerja tanpa hobi pula.

Bagi sesiapa yang ada obsesi yang keterlaluan, seandainya tidak mampu mengawal diri boleh mencetuskan mania. Antara kesannya ialah nafsu seks yang tinggi; yang perlu disalurkan kepada kerja-kerja kreatif. Perlu diingatkan otak berkait rapat dengan rahim dan alat kelamin. Penderita mania juga tidak mampu mengurus duit dengan baik. Jika dibiarkan berlarutan, akan memberi masalah kepada orang-orang disekelilingnya.

Kajian juga membuktikan wanita yang murung mahukan lebih perhatian. Pada tahap serius tidak mahu atau tidak mampu mengurus diri, menjadi sangat bergantung. Lelaki yang murung pula mudah marah dan bersikap kejam. Tidak hairanlah mengapa perogol dan pembunuh bersiri terdiri dari golongan ini.

Namun kajian juga mendapati ramai artis yang hebat seperti ahli muzik, novelis, pelukis, penyair adalah melankolik. Bagi mereka yang dilahirkan sebagai artis sejati (cerdik, kreatif dan mempunyai pelbagai kemahiran), sering mengalami konflik jiwa yang hebat.

Nah! Di sinilah peranan PERUBATAN HOLISTIK untuk MERAWAT JIWA.

Untuk mendapat penyembuhan secara menyeluruh, perlu gabungan dari kelima-lima aspek iaitu:

JASMANI – seperti senaman, urutan dan pergerakan-pergerakan di dalam solat.

EMOSI –doa, kata-kata positif, terapi percakapan, terapi seni - luahkan perasaan yang terpendam dengan menulis jurnal dan melukis.

ROHANI – sebarang kaedah untuk mententeramkan jiwa seperti zikir dan alunan muzik yang mendamaikan. Sebutan berulang-ulang yang dilakukan oleh otak kiri mengaktifkan otak kanan. Keseimbangan otak kiri dan kanan menghasilkan seorang pemikir yang fleksibel dan sangat kreatif. Muzik orkestra merangsang pengeluaran hormon ‘dopamine’, hormon yang memberikan rasa seronok. Aktiviti ini perlukan perhatian kerana jika anak anda atau anda sendiri seronok dengan permainan atau aktiviti yang haram seperti menyiksa binatang, kaedah rangsangan ini tidak sesuai.

AMARAN: SETIAP INDIVIDU BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP APA YANG DIA LAKUKAN.

INTELEK – ilmu dan kajian mengenai sesuatu penyakit. Darinya boleh diketahui samada penyakit itu ada kaitan dengan faktor genetik atau faktor persekitaran. Kajian saintifik juga membantu dari segi makanan yang sesuai dan sebagainya. Gula dalam darah yang tidak seimbang misalnya didapati memberi kesan yang tidak elok kepada otak - menganggu tumpuan dan mengeluarkan bisikan-bisikan negatif. Oleh itu penting melebihkan protein, sayur-sayuran dan buah-buahan dalam sajian. Kurangkan kerbohidrat.

Bahan kimia otak juga merosot sejajar dengan usia. Pengambilan makanan tambahan seperti vitamin B kompleks dan minyak ikan perlu menjadi amalan.

Kafein dalam kopi dan minuman berkarbonat juga menghasilkan perasaan tidak tentu arah dan mencetuskan pemikiran-pemikiran yang tidak rasional.

Kajian personaliti pula mendapati personaliti popular sememangnya dilahirkan dengan pelbagai mood. Jika tidak, tidak meriahlah dunia. Personaliti sempurna andainya terlalu mengikut rasa dan kata hati akan menderita ‘OCD’. Mudah murung dan sering tidak puas hati.

Personaliti berkuasa kuat marah. Si tenang pula asyiklah kena marah. Ha ! Ha ! Bayangkan kalau mereka serumah.

Bagi yang caca-merba seperti saya, fokuskan satu minatmu sebagai kerjaya ; yang lain-lainnya sebagai hobi sahaja. Atau pilihlah kerjaya yang memungkinkan anda menggunakan pelbagai kepandaian yang dihadiahkan Allah.

SOSIAL – kajian Abraham Maslow, ahli psikologi terkemuka telah membuktikan betapa manusia memerlukan kasih sayang sebagai motivasi untuk terus hidup. Sejajar dengan Firman Allah dalam Surah Ar-Rum ayat 21; maksudnya:
Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antara kamu perasaan kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.

Menurut statistik dari majalah ‘Readers’ Digest’ keluaran Disember 2002, 75% pasangan yang sembahyang bersama mengambarkan perkahwinan mereka sebagai sangat bahagia.

Memetik kata-kata Almarhum Benazir Bhutto, wang boleh membeli apa sahaja kecuali perasaan BAHAGIA. Sayangilah diri anda dan insan-insan yang anda sayangi. Kasih sayang dan sokongan yang tidak berbelah bagi melahirkan jiwa yang kental dan cekal dalam mengharungi kehidupan yang semakin mencabar. Jiwa yang rapuh mudah terdorong kepada perkara-perkara yang tidak senonoh.

Catatan: Richard P. Bentall, Profesor Klinikal Psikologi di University of Bangor, Wales menulis sebuah buku bertajuk ‘Doctoring the Mind – Why psychiatric treatments fail’ (Terbitan 2009). Maka sewajarnya rawatan alternatif disediakan di hospital-hospital kerajaan memandangkan kos terapi di pihak swasta amat mahal. Untuk perundingan sahaja dari RM200-600 sejam.

SITI JUWAIRAH ABD WAHAB,
Ahli Psikoterapi Meridian dan berdaftar dengan International College of Holistic Medicine.

No comments: