Monday, December 1, 2008

Tiga langkah mengatasi tekanan dan kemurungan

Kesakitan dan penyakit yang kita hidapi adalah kesan dari tekanan hidup yang
dialami. Tekanan yang melampau melemahkan sistem badan dan menyebabkan penyakit berkaitan tekanan terjadi. Jika tulang belakang anda lemah, anda mudah mendapat sakit belakang. Seandainya system penghadaman anda lemah, anda akan mengalami masalah penghadaman seperti gastrik, mudah kembung dan sebagainya. Jangkitan pula mudah berlaku sekiranya badan anda lemah.

Sebarang penyakit yang menunjukkan symptom fizikal tetapi berhubungkait dengan minda dan emosi dikenali sebagai Penyakit Psikosomatik.

Untuk menyembuhkan penyakit-penyakit fizikal ini, punca tekanan dan penyebab kemurungan perlulah dikenalpasti.

Persoalannya: Bagaimana menghadapi tekanan yang merupakan sebahagian dari gaya hidup masa kini?

Langkah pertama – Kenalpasti bila masanya anda sangat tertekan.
Cara mudah: Sentuh leher anda dengan kedua-dua tapak tangan anda. Jika tangan anda lebih sejuk, anda sedang tertekan. Jika sebaliknya, anda dalam keadaan rileks.

Keadaan-keadaan lain yang menunjukkan anda tertekan:
Tapak tangan berpeluh
Ketegangan otot
Perut yang tidak selesa
Denyutan jantung yang kerap

Langkah kedua – Pelajari cara mengawal tekanan.
Paling mustahak: JANGAN PENDAM PERASAAN ANDA

Mengawal tekanan lebih sihat dan selamat. Anda perlu meluahkan perasaan anda kepada seseorang yang boleh dipercayai, menyertai kumpulan sokongan, pergi bercuti atau berehat sebentar (tinggalkan bebanan kerja anda), mengambil herba-herba dan makanan tambahan (akan dibincangkan dengan lebih lanjut kelak), mengambil makanan yang menyihatkan, gaya hidup yang sihat – tidak merokok dan gemar beriadah, bersikap jujur (berbohong ambil tenaga yang banyak), hilangkan segala perasaan dendam, melakukan kerja-kerja sukarela, membantu mereka yang memerlukan. Ambillah masa dan hargailah diri anda seandainya selama ini anda banyak berkorban untuk orang lain.

Langkah ketiga – Kesanggupan anda

Anda mesti sanggup melepaskan apa sahaja yang diluar jangkaan, yang tidak mampu anda capai. Abaikan segala perasaan bersalah dan kemungkinan-kemungkinan yang selama ini mengawal tingkah laku anda. INGAT! Anda adalah manusia. Anda berhak menentukan hala tuju hidup anda. Anda berhak mengatakan TIDAK pada hal-hal yang anda tidak sanggup lakukan.
Manusia mempunyai emosi. Menangislah tidak kira anda lelaki atau perempuan, muda atau tua jika ianya melegakan. Tidak perlu berpura-pura atau mengalah semata-mata untuk memuaskan perasaan sesetengah pihak. Usah bersikap cerewet dan mementingkan kesempurnaan. Ada ketikanya tekanan yang hebat itu datang dari kita sendiri.

Jbhisyam
1.15pm

No comments: