Saturday, April 10, 2010

Rawatlah hati, tenangkan jiwa

KENYATAAN BRO iaitu “perempuan sememangnya kaki pendendam, malah sikap kebencian yang ada pada sesetengah daripada mereka adalah terlalu buruk” ialah satu kesimpulan umum (‘overgeneralisation) dan boleh dikategorikan sebagai satu ciri pemikiran terganggu (‘distorted thinking’); rujuk ‘Emotional Fitness’, A Guide by CAP.

Sebenarnya lelaki dan perempuan sama sahaja kerana personaliti manusia dikategorikan kepada empat jenis. Personaliti ibu mertua yang bro bincangkan minggu lepas dikategorikan sebagai Personaliti Berkuasa (‘Powerful Choleric Personality); rujuk Personality Plus, Florence Littauer.

Malang bagi ibu-ibu sebegini kerana mereka mempunyai lebih sifat-sifat negatif dari positif. Tiada siapa menyukai individu yang angkuh dan suka menguasai orang lain (‘domineering’) apatah lagi dia sahaja yang betul (‘bossy’). Mereka dibenci di rumah juga di organisasi. Kalau suami pun mesti ikut telunjuk mereka, anak-anak apatah lagi. Mereka bukannya dihormati tetapi hanya ditakuti.

Walaupun kita dikurniakan akal fikiran tetapi ramai sebenarnya tanpa disedari dikuasai oleh emosi. Jika lelaki yang dikurniakan sembilan akal pun boleh bertindak sesuka hati, apatah lagi wanita yang mempunyai sembilan nafsu. Saya ada juga mendengar kisah siayah yang tidak membenarkan anaknya berkahwin dengan lelaki/wanita dari negeri tertentu, juga profesion ini dan itu.

Bapa saya pernah berkata, beliau tidak suka dengan mereka dari negeri xxxxx. Ditakdirkan jodoh saya dengan lelaki dari negeri xxxxx. Bapa akhirnya mengalah kerana saya bertemu jodoh setelah melepasi umur 30. Maka apabila emosional mengatasi rasional sesiapa sahaja akan keliru apakah itu takdir dan takbir.

Anak-anak yang taat dan patuh kepada ibu bapa tanpa mengira cara didikan yang mereka terima, pastinya dikurniakan pasangan yang elok budi pekerti dan lebih disenangi selain memiliki ilmu yang tinggi. Ini menyebabkan siibu merasa tercabar dan tidak selamat, dikuasai kebimbangan anaknya akan lebih menyayangi siisteri.

Dari kes-kes yang saya kaji, konflik mertua-menantu ini sering terjadi kepada ibu yang kematian suami, ibu yang ditinggalkan suami juga ibu yang memiliki pasangan yang tidak bertanggunjawab.

Konflik ini lebih teruk lagi seandainya ibu-ibu ini hidup bertunjangkan adat budaya Melayu. Bagi masyarakat Minangkabau, orang laki-laki tertakluk kepada hukum ibu. Pada adat yang asal, suami tidak wajib memberi nafkah kepada isterinya; rujuk Prof.Dr. Hamka, Islam dan Adat Minangkabau.

Beliau juga menyimpulkan bahawa adat telah menyebabkan masyarakat kita mengutamakan kekayaan sebagai kriteria penting untuk perkahwinan. Walhal Nabi SAW menegaskan yang beragama itu adalah yang terbaik. Kajian Reader’s Digest keluaran Oktober 2009 membuktikan 58% orang Malaysia meletakkan duit sebagai kebimbangan utama. (Kita berada ditempat pertama,Negara China dengan 55% di tempat kedua.)

Kehidupan masyarakat Melayu yang banyak dipengaruhi oleh fahaman Anisme dan budaya Hinduisme menyebabkan ramai diantara kita lebih menyukai hiburan dari majlis ilmuan. Baik tua mahupun muda masa lapang diisi dengan menonton TV dan DVD. Barangan perhiasan dan berharga mendapat tempat utama.

Masih ramai sebenarnya masih asyik dibuai dunia walaupun telah meningkat usia. Kalau sudah mencecah 60 tahun pun masih teruja dengan jenis kereta, emas permata dan koleksi berharga, bagaimana mungkin simuda mencontohi yang tua? Hakikatnya tidak ramai yang dewasa dan matang sejajar dengan usia.

Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah; rujuk ayat 19 Surah Al-Maarij. Hanya ilmu dan amalan-amalan kerohanian yang dapat menenangkan jiwa dan menjadi penawar kepada penyakit-penyakit hati.

Catatan: Artikel ini telah disiarkan di Mingguan Malaysia.

No comments: